13 December 2008

Haji - Perjalanan Sepanjang Hayat

Segala puji bagi Allah ... Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah ... segala pujian hanya untuk Nya ....

Semuanya telah selamat kembali dari mengerjakan haji pada hari Rabu 10.12.08 bersamaan dengan 12 Zulhijjah 1429H. Lebihkurang jam 8:10PM bas yang membawa kami selamat tiba di An-Nawa,RC Yanbu.
Sebagaimana yang di rancangkan, rombongan kami seramai 50 orang telah mula berkumpul di hadapan masjid An-Nawa sejak pukul 10 pagi. Malah ada juga yang sudah mula menunggu seawal 9:30. Suasana agak ceria dikalangan jemaah. Masing-masing teruja untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ini. Namun ada juga di sudut hati perasaan bimbang. Yelah... macam-macam boleh berlaku... segalanya didalam ketentuan Yang Maha Esa. Sedih juga mendengarkan ada sahabat-sahabat yang tidak dapat turut serta walaupun persediaan sudah dibuat. Pasti ada hikmah disebalik apa yang berlaku....

Rombongan hanya bertolak dari An-Nawa jam 11:30 AM dengan dua buah bas coaster. Selain rakyat Malaysia, ada juga sorang dari South Africa dan pasangan dari Kanada (asal Pakistan tapi telah menjadi rakyat Kanada dan kini mengajar di sebuah kolej di Yanbu). Inilah kali pertama untuk aku dan kebanyakan kami pergi ke Makkah dengan bas. Satu pengalaman baru. Nak kata selesa tak lah tapi seronok gitu...

Pukul 3:40PM kami sampai ke Miqat Juffah. Berhenti untuk satu jam bagi membuat persiapan dalam ihram, solat dan berniat. Niat untuk mengerjakan haji adalah Rukun Haji yang pertama. Kebanyakan kami semua berniat mengerjakan Haji (Haji Ifrad), hanya seorang dua yang berniat melakukan Umrah kerana ingin mengerjakan Haji Tamattu'.
Sebaik bas bergerak meninggalkan miqat menuju Makkah, laungan talbiah mula kedengaran di dalam bas sehinggalah kami semua tiba di Al-Gazlah, berhampiran dengan Masjidil Haram pada pukul 8:00 malam. Hmm... hampir 4 jam juga dari Juffah, dimana kebiasaanya hanya satu jam saja untuk sampai. Masing-masing berpecah mengikut kumpulan masing-masing dan berjanji untuk datang semula ke bas pada pukul 3:00 pagi, setelah selesai melakukan Tawaf Khudum atau pun Tawaf Selamat Datang dan Saie' Haji. Sebelum pukul 3 pagi, semua telah berada di bas tapi bas hanya bergerak ke Mina jam 4:30 pagi. Satu lagi bas dah bertolak ke Mina seawal 2 pagi. Walaupun jarak dari Makkah ke Mina hanya lah 7 km, tapi kami hanya sampai ke khemah di Mina pada jam 7:00 pagi. 3jam setengah hanya untuk perjalanan sejauh 7km!!!

Letih jangan nak cakap lah.... so, selepas qada' solat subuh dan bersarapan, apalagi... tidurlah dulu. Lagipun, 8 Zulhijjah ni di panggil Hari Tarwiyah ataupun hari persediaan. Di Mina, sebagai mengikut sunnah Rasullullah, solat zohor, asar dan Isya' adalah di qasarkan tanpa di jamak.

9 Zulhijjah, selepas je solat suboh berjemaah di khemah, semua jemaah bersiap untuk bergerak ke Arafah untuk berwukuf. Maksud wukuf adalah berada di bumi Arafah walau satu saat sekalipun dalam sebarang keadaan dari gelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah. Wukuf di Arafah merupakan Rukun Haji yang kedua. Tanpa berwukuf di Arafah, tidak sah lah haji seseorang itu. Jarak antara Mina dan Arafah adalah sejauh 7 km tapi ianya mengambil masa hampir 4 jam untuk sampai!! Kelihatan ramai yang berjalan kaki sahaja untuk ke Arafah dari Mina dan Makkah. Berbagai cara jemaah gunakan untuk sampai ke Arafah. Pada hari wukuf inilah semua jemaah haji berkumpul di Arafah serentak pada satu masa. Tiada tempat selain Arafah dimana doa pada Allah paling banyak dimakbulkan. Dalam sejarah, disinilah Nabi Adam bertemu semula dengan Hawa setelah dicampak keluar dari Syurga. Di ceritakan bahawa Nabi Adam s.a berdoa meminta ampun selama 12 tahun di Jabal Rahmah di Arafah ini sebelum dia diampunkan oleh Allah. Pada hari wukuf inilah juga, kain kiswah yang menutupi Kaabah di tukarkan kepada yang baru setiap tahun kerana semua jemaah haji berada di Arafah. Menjelang maghrib pada pukul 5 PM, semua jemaah mula berangkat meninggalkan Arafah untuk menuju ke Muzdalifah dan bermabit disana (bermalam). Bayangkan 3 juta manusia bergerak serentak ke satu tempat yang sama..... alamatnya, pukul 7:30 PM baru bas kami dapat bergerak keluar dan hanya sampai di Muzdalifah pada pukul 10 malam. Olehkerana khemah kami bersempadan dengan Muzdalifah, semuanya balik ke khemah dulu sebelum berjalan keluar ke Muzdalifah selepas tengahmalam. Bermabit atau bermalam seketika selepas tengahmalam di sini adalah antara wajib haji. Ada yang tidur di Muzdalifah dan bersolat suboh disini. Ada juga yang balik khemah di Mina. Jemaah perempuan dari kumpulan kami semua pulang ke khemah di Mina.

Bas tanpa bumbung ni dikatakan digunakan oleh jemaah haji dari golongan syiah.

Pagi 10 Zulhijjah, selepas waktu dhua, ada yang bergerak ke Jamrah untuk melontar Jamrah Aqabah dan seterusnya bertahallul dan bergerak ke Makkah untuk melakukan tawaf Ifadhah atau tawaf haji. Ada yang terus ke Makkah dulu untuk melakukan tawaf haji sebelum melakukan lontaran jamrah aqabah. Aku pula hanya melakukan jamrah Aqabah selepas waktu zohor dan bertahallul awal. Sesudah itu pulang ke khemah semula. Sepanjang berjalan ke khemah baru aku perasan banyaknya khemah-khemah persendirian di setiap pelusok di Mina. Malah ada yang berkhemah di pembagi jalan. Seawal perjalanan aku dah merancang untuk melakukan tawaf haji pada 11 Zulhijjah selepas solat suboh.

Maka selepas solat suboh 11 Zulhijjah aku, isteri dan beberapa rakan lain bergerak ke Makkah dengan van sapu untuk membuat tawaf haji. Tambang untuk satu van ialah SR400. Lebihkurang sorang SR45 dari Mina ke Makkah yang jaraknya lebihkurang 10 km saja. Ketika mula kami melakukan tawaf, keadaan tidak lah sesak lagi dan kami berjaya melakukan tawaf dalam tempoh 45 minit.Balik dari tawaf, kami melontar 3 jamrah, iaitu Jamrah Sughra, Wusta dan Aqabah atau Kubra. Melontar 3 jamrah pada hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah wajib haji.

Kompleks Jamrah yang masih belum siap sepenuhnya. Baru tiga tingkat yang sudah dibuka. 2 lagi tingkat masih dalam pembinaan.
Olehkerana ramai yang mengambil keputusan untuk membuat Nafar Awal, iaitu meninggalkan tanah Mina pada hari Tasrik kedua (12 Zulhijjah), maka selepas je solat suboh, semua jemaah Malaysia kecuali dua orang terus melakukan 3 jamrah dan seterusnya bergerak ke Makkah untuk melakukan tawaf wida'.

Alhamdullillah, semuanya berjalan dengan lancar dan kami semua mula bergerak meninggalkan Kota Makkah pada pukul 3:00 petang. Kepuasan terpancar di setiap wajah. Seribu satu macam kenangan dan pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan sepanjang hayat. Kini baru aku mengerti mengapa ramai yang sudah mengerjakan ibadat haji masih terus merindui dan berharap untuk melakukannya lagi....


KAMI MEMOHON KEPADA ALLAH SWT UNTUK SEMUANYA SUPAYA MENDAPAT HAJI YANG MABRUR, SA'I YANG DISYUKURI. SESUNGGUHNYA DIA (ALLAH) ATAS SEGALA SESUATU MAHA KUASA DAN SALAWAT ATAS NABI KITA MUHAMMAD SAW, KELUARGANYA DAN PARA SAHABAT-SAHABATNYA.

Gambar-gambar di http://picasaweb.google.com/Zuraili/TheHaj

3 comments:

  1. Alhamdullilah, semua sudah selamat.

    ReplyDelete
  2. Salam,
    Ada tak kau doa utk aku supaya sampai gak kat makkah? Alamak, ni mesti lupa nya...

    ReplyDelete
  3. Akum..bestnya life abg zuraili kat sana... ada tak ye peluang nak ke sana.. harap ada satu hari nnti..... Azam Titan

    ReplyDelete

Get Free Shots from Snap.com