26 September 2008

Berterawih Di Masjid Quba

Semalam, niat dihati nak berbuka dan berterawih di Masjid Nabawi bersama family... tapi bila je sampai (ngam-ngam waktu asar), parking dah penuh kat Masjid Nabawi. Plan asal selepas berbuka di masjid dan solat maghrib, nak berbuka kat dataran masjid pasal memang ada bawak juadah berbuka dari rumah. Olehkerana dah tak de parking, aku pun pusing pergi ke Masjid Quba. Maka, kita orang pun berbuka dan berterawih di sana. Seronok gak... parking pun dapat dengan masjid, lepas je solat maghrib, terus bentang tikar... dan lepak-lepak sambil makan sambil menunggu waktu Isya'.
Masjid Quba (atau Masjid al-Quba) ialah masjid pertama yang dibina oleh orang Islam. Masjid ini terletak di Kota Madinah kira-kira dua batu daripada Masjid Nabawi. Masjid ini diasaskan oleh Nabi Muhammad sebelum Baginda tiba di Madinah melakukan berhijrah dari Makkah.
Masjid Quba kemudian disiapkan oleh Sahabat Rasulullah . Rasulullah menghabiskan masa selama 20 malam (selepas hijrah) di samping bersembahyang dan beribadah kepada Allah s.w.t..
Rumah Saidina Ali terletak di belakang Masjid Quba, dan Nabi Muhammad akan mendirikan solat sunat sementera menunggu Saidina Ali.

Pemandangan luar Masjid Quba yang terletak di Madinah.

Masjid Quba Dibina Atas Taqwa
Masjid Quba adalah antara masjid paling suci di antara penganut agama Islam, dan mengikut turutannya ialah Masjid-al-Haram (Makkah), Masjid Nabawi (Madinah), Masjid-al-Aqsa (Baitulmuqaddis), Masjid Quba Madinah)
Masjid Quba disebut di dalam Al-Quran sebagai masjid yang dibangunkan di atas Taqwa.
Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin) [9:108]

Semasa hayatnya, Nabi Muhammad kerap mengunjungi Masjid Quba dan menunaikan solat sunat. Mengikut Hadis Ibnu Umar r.a: Sesungguhnya Rasulullah pernah berkunjung ke Quba' dengan menunggang binatang tunggangan dan juga berjalan kaki.
Telah diceritakan bahawa Nabi menziarahi Masjid Quba' pada tiap-tiap hari Sabtu dengan menaiki tunggangannya. Kadang-kadang baginda pergi ke sana pada hari Isnin. (Bukhari: Jumaat: 1117, 18, 1119. Muslim: Haji: 2478, 2483)
Sabda Nabi lagi: Sesiapa yang bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya kemudian pergi ke masjid Quba' lalu mendirikan sembahyang di dalamnya, ganjarannya samalah dengan pahala ibadat Umrah. (Tirmizi: Sembahyang: 298. Ibnu Majah: Iqamat dan Sunatnya: 1401. Ahmad: Musnad Makkiyyin: 15414.)

Senireka
Masjid Quba telah siap dibina semula dalam tahun 1986. Kerajaan Arab Saudi telah meminta Abdel-Wahed El-Wakil, seorang arkitek Mesir untuk membina semula Masjid Quba. Abdel Wahid asalnya hendak mengekalkan struktur masjid yang lama dan digabungkan dengan bangunan baru. Tetapi Kerajaan Arab Saudi berkeras meruntuhkan bangunan Masjid yang lama.

Masjid Quba mempunya dewan solat berbentuk segi empat, dengan sebahagian dewan solat ditempat di tingkat dua. Dewan solat disertakan dengan kawasan kediaman petugas masjid, pejabat masjid, bilik wuduk, kedai-kedai dan juga sebuah perpustakaan.
6 buah pintu masuk sebagai tambahan kepada pintu masuk utama di bahagian utara, selatan dan timur masjid ini. Masjid ini mempunyai empat menara, dengan satu menara disetiap penjuru dewan solat. Masjid ini mempunyai kawasan lapang yang boleh dilindungkan dengan bumbung yang boleh dibuka dan ditutup.
Dipetik dari Wikipedia

No comments:

Post a Comment

Get Free Shots from Snap.com