Bayangkan diri anda apabila ditahan oleh seorang anggota polis trafik kerana satu kesalahan jalanraya yang anda lakukan. Anda kemudiannya disaman. Perasaan pertama yang mungkin timbul di dalam hati anda adalah perasaan marah kepada anggota polis trafik tersebut. Namun, dari kaca mata anggota polis itu, beliau hanya menjalankan tugas kerana anda telah melanggar peraturan. Namun, beliau tidak anda senangi.
Situasi kedua adalah apabila anda duduk di satu majlis, di sebelah orang tidak anda kenali. Mungkin di satu ceramah motivasi atau seminar atau pertunjukkan amal, kemudiannya individu tersebut mula mengkritik itu dan ini, mencari kesalahan dan kecacatan majlis tersebut. Apakah perasaan anda terhadap individu begini ? Adakah anda menyenangi orang seperti ini? Namun, pada persepsi beliau, beliau hanya ingin memberi komen membina.
Masjid Jamek Batu Pahat, Johor
Mungkin untuk sesetengah orang mereka dapat menerima kehadiran kedua-dua individu seperti di atas (si polis trafik yang menyaman dan seorang yang suka mengkritik), namun untuk kebanyakkan orang, kehadiran orang seperti ini mungkin mengganggu ketenangan.
Bayangkan jika polis trafik berkenaan hanya menahan dan menasihati anda tentang kesalahan anda. Adakah anda masih marah padanya? Dan bayangkan jika orang yang duduk di sebelah anda itu berdiam diri atau memuji keadaan majlis yang memang nyata serba kekurangan itu. Bukankah hidup anda lebih senang.
Anda mungkin mengingati kebaikkan mereka dan menjadikan mereka sahabat anda.Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Al-Hujuraat ayat 12, “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. ”
Abu Hurairah r.a. ada melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Janganlah kamu mencari dan menyelidiki kesalahan orang lain” {Riwayat Bukhari & Muslim}Kita mungkin ikhlas mengkritik atau memperbetulkan kesalahan yang kita nampak. Tiada manusia normal yang terus-menerus ingin melakukan kesalahan apabila menyedari perkara itu adalah salah .. setelah diberitahu.
Hanya pendekatan kita yang selalu mengundang kebencian dan menjauhkan kenalan. Namun untuk setakat ini, latihlah diri menjadi seorang yang positif. Teliti kebaikan yang ada pada diri orang lain. Sentiasa melihat sesuatu keadaan dari sudut yang positif.
Kurangkan mengkritik dan lebihkan bersyukur dengan apa yang ada. Jangan cari salah orang, tetapi carilah kebaikan mereka... InsyaAllah hidup lebih indah.
SELAMAT BERPUASA DI BULAN RAMADHAN
Sumber: Taman2 Syurga